Jurnal Terapis – Usia Bukan Penghalang Untuk Jadi Antara Yang Terbaik
Kisah terapis seterusnya dikarang oleh anak beliau sendiri. Bagaimana ayahnya, Mejar Haji Ahmad Nazri Bin Haji Zailani, masih lagi gagah bekerja di usia melepasi 60 tahun. SENTUH tertarik dengan kisah disebalik kaca mata anak beliau yang menyokong kariernya sebagai terapis di SENTUH.
“10 tahun menanti suara tangisan bayi, bukan mudah bagi bapa saya menghadapi tekanan. Ujian datang silih berganti. Namun, beliau tetap tabah serta mempunyai semangat yang luar biasa. “Putus asa” tidak wujud dalam kosa kata hidupnya, tetapi “bangkit dan terus berjuang” merupakan cogan kata hariannya. Bukan calang-calang wira yang mampu memegang title Komando, beliau antaranya.
Beliau juga merupakan juruterbang pesawat tempur TUDM di masa mudanya. Siapa sangka sayapnya yang dahulu terbang tinggi pernah bersalin lencana kepada penjual Pasar Tani, lantas membuka ruang baru bagi beliau bergiat aktif dalam bidang Penternakan dan Pertanian.
“Tidak mudah, tetapi tidak mustahil.” Kini, beliau merupakan seorang pengamal perubatan traditional dan komplimentari – terapi Tok Janggut Triple S sarat identiti tersendiri. Kini melebarkan sayapnya bersama SENTUH.my. Walaupun sudah tidak mengendali pesawat juang, perjuangannya tidak pernah tamat.
Masih ada pesakit yang perlu dirawati, masih ada ilmu yang perlu dikongsi, dan masih ada dua anak yang menuntut di Universiti. Patah sayap bertongkatkan paruh, disebalik kecekalan itulah membesarkan sepasang Putra Dan Putri dengan sempurna.
Tidak ada kurang sedikitpun walaupun kudrat tua 60 series itu tidak lagi sekuat Komando. Di saat rakan-rakan seusianya sibuk berehat dan bermain dengan cucu, beliau masih bersilat dengan tulang empat keratnya hanya untuk memastikan keluarga masih mampu hidup sempurna dibawah naungannya.
Beliau inspirasi kami dua beradik untuk tidak pernah mengalah dan terus melangkah, meskipun susah, meskipun payah, jika Baba boleh, kami tentu boleh. Terima kasih Baba, idola kami selamanya.
0 Comments