Minum Kopi, Apa Kebaikan Dan Keburukannya?

Published by sentuh on

Kopi dikatakan minuman yang boleh menghilangkan rasa mengantuk dan lesu. Ada juga yang minum kopi kerana ingin mengikuti trend, manakala sesetengah pula jadikan kopi sebagai minuman harian.

Menurut laman web healthline.com minum kopi memberikan manfaat kepada tubuh anda, antaranya meningkatkan tahap konsentrasi. Tetapi minum kopi secara berlebihan dengan menambah kandungan gula yang banyak juga boleh mengundang sakit. SENTUH senaraikan keburukan jika minum kopi secara berlebihan.

1. MUDAH RASA CEMAS

Meminum terlalu banyak kopi membuatkan anda mudah berasa cemas sehingga menjejaskan waktu tidur. Malah, anda akan mudah terjaga semasa tidur dan tidak dapat tidur nyenyak.

2. SAKIT PERUT

Kalau anda sering mengalami sakit perut pula dan tidak tahu penyebabnya, kopi mungkin puncanya. Kandungan asid yang tinggi menjadi juga punca penyakit refluks gastroesofageal iaitu gangguan pada proses pencernaan.

Oleh sebab itu, jika anda mengalami gastrik, cuba elak daripada meminum kopi. Satu lagi tips buat anda supaya tidak sakit perut, usahakan untuk makan terlebih dahulu sebelum minum kopi.

3. DENYUTAN JANTUNG TERLALU PANTAS

Minum kopi berlebihan juga akan menjejas degupan jantung anda. Kafein dalam kopi dipercayai boleh menyebabkan denyutan jantung anda menjadi terlalu pantas sehingga anda berasa sakit kepala dan pengsan.

4. SUKAR TIDUR

Kopi sememangnya membantu terutama sekali ketika ada keperluan untuk terus berjaga sepanjang malam. Namun, kandungan dalam minuman kopi didapati terus berada dalam tubuh anda selama 14 jam. Ini akan membuat anda sukar tidur dan menjejas pola tidur anda.

Dalam erti kata lain, waktu tidur anda akan menjadi tidak menentu apabila anda meminum kopi secara berlebihan. Waktu yang sesuai, kopi seharusnya diambil pada waktu pagi ataupun petang sahaja.

5. SAKIT KEPALA

Kajian mendapati kafein dalam kopi mampu meredakan sakit kepala. Tidak hairan mengapa ramai sering meminum kopi ketika berasa tertekan dan ketika mereka ingin menenangkan fikiran.

Bagaimanapun, Universiti Johns Hopskins mendapati bahawa mereka yang minum lebih dari 5 cawan kopi akan membuat anda lebih sakit kepala dan berasa lemas. Minuman lain yang mengandungi kafein seperti teh, soda atau minuman tenaga, juga akan membawa kesan yang sama.

Photo by Nathan Dumlao on Unsplash
Writer: Allis Natassha

0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *